Tuesday, January 28, 2014

KUNCI KEJAYAAN

KUNCI KEJAYAAN ----------> Situasi A
”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah
berjaya, tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri,
kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak ada” Situasi B
”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes,
aku selisih dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!
mentang-mentang sudah berjaya.” Situasi C
”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis
belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya,
apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.” Apakah penanda aras bagi kejayaan? Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-
kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk
diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan
sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang
hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai
yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi
bagaimana cara hendak berjaya? Kita kata mahu jadi
manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut
acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara
’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita?
Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai
masalah dalam berfikir. Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian
orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta
benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran
kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga
bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian
kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah
berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....”
kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita
berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum
berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah
pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang kita ingin,
yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah
untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan
kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi
masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah
SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu
untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui
peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah diri. Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati,
mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan
amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah
kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan
penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup,
tingkah laku dan perbuatan sehari-harian. Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya
mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan,
namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu
adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah
al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan
sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka
mengetahuinya.” Persoalannya sudah tentu berkaitan
dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap
yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh
yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15
mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya,
kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-
ragu lagi.” Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud,
”Sesungguhnya hanya orang yang beriman itu apabila
disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan
mereka bertambah iman dan kepada Allah mereka
berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka. Merekalah orang beriman
yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri
orang yang beriman yang mesti ada pada kita. Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat
segala perintah Allah SWT dan tidak sekali-kali boleh
melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah
kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh
dan taat pada perintah Allah SWT serta tidak
melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan
berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu,
beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka
kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-
limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka
mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang
mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT lagi
dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga
sebagai ayat seribu dinar memberi maksud,”....dan
sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan
baginya jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas dihatinya..... Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat
keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan
keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi
jika kita beriman kepada-Nya. Iman dapat dikatakan
sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan
suatu senjata yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang
beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah
sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-
Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu
berada bersama-sama orang yang benar." Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang
bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang
dinyatakan, dijamin akan berjaya kerana mereka
dijanjikan jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak
terlintas dihati. (lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi
pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak
bertaqwa akan gagal dalam kehidupan kerana
natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan
akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk
meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT. Bicara tentang Ilmu Pengetahuan Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT
berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan
orang yang beriman antara kamu dan orang yang
diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat
9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah lagi, adakah sama orang yang
mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak
mengetahui (berilmu)...,” Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu
dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya.
Untuk memahami sesuatu perkara seseorang
hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan
pelengkap ke arah insan yang beriman, dapat
mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan. Ilmu
dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia saling
berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu
manusia jdapat melaksanakan amanah dan
tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang
berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki
hari ini sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak
mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam
semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit
milik kita ini tidak dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan,
ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan.
Orang yang tahu, akan menggunakan ”tahunya” pada
tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109
bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan
habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah
Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan
yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". Bicara tentang Pembersihan Jiwa ”Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya”
layakkah kita untuk berkata begitu? Lagikan kain
yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih
kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat
akan berubah dengan izin Allah jika kita tahu dan
sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk
membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara
yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang.
Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna
penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman
Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan
dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih
(dengan iman dan amal kebajikan). Dan
sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan
dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam
kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya
penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah
Allah dan meninggalkan larangan syariat dengan
tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya. Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita,
diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri
yang bersih seperti kain putih bersih, tidak dinodai
oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana
kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh
dengan unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan
dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang
benar. Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela
yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat
terpuji. Kita bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan
amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan
sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para
nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup tidak sia-sia. Allah SWT
telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang
maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah
keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita
ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa. Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan
ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan
ilmu, pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat
membezakan perkara yang hak dan yang batil.
Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa
jahil merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil
seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya
fikir sendiri kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya
ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa
ilmu adalah kosong. Solusi Menuju Kejayaan Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan
berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua
kaliyang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju
kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang
cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat.
Orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang
berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan
hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada
perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan
disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati,
bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan,
kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya dari fikir
dan fikir kita akan temukan jawapan, kita ingin
menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat
dan rahmat-Nya, kita ingin menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan
taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam
kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki.
Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas
dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah
kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini?

No comments: